Saturday, 28 November 2015

HURUF 'D'

ADA APA DENGAN 'D'

DENDAM
Jadi manusia jangan ada sikap dendam yang terlampau dekat seseorang dan kalau boleh kau jangan simpan perasaan dendam tu sekalipun. Kelak kau yang akan rasa sakitnya akhir nanti. Tak dapat faedah apa pun simpan dendam dekat orang lain. Jadi maafkanlah walau perit mana sekalipun.

DOSA
Setiap manusia takkan lari daripada melakukan dosa sama ada besar atau kecil mahupun dalam sedar atau tidak. Apa yang boleh dibuat adalah bertaubat kepada Allah swt supaya diampun dosa kita semua. Ingatlah, tak ada manusia sempurna dekat dunia ni. Mungkin hanya 1 dalam 1000000 sahaja manusia yang sempurna.

DOA
Senjata umat Islam adalah doa.  Kalau ada masalah, berdoa kepada Allah. Jangan lepaskan perasaan sedih dan marah dekat orang lain selalu. Kita boleh tenangkan diri dengan berdoa dan mengadu kepadaNya. Dan tak semestinya kau kena berdoa waktu kau susah sahaja. Waktu senang pun ingatlah Allah, berdoalah kepadaNya.

DUKA
Kalau berduka jangan lama sangat. Kalau kau sorok perasaan duka kau lama-lama, kau akan makin sakit dan sakit yang teramat. Kau kena yakin dengan diri kau. Tidak ada duka yang kekal di dunia ni, InsyaAllah pasti ada penawarnya.

DUNIA
Dunia makin lama makin tua. Seiring dengan usia kita yang semakin lama semakin meningkat. Bila-bila masa sahaja kau boleh tinggalkan dunia ni. Sama ada cepat atau lambat, muda atau tua, esok mahupun lusa. Maka buatlah amal kebaikan di dunia ini selagi masih diberikan nyawa.

Hati kau keras,
Roii

Monday, 23 November 2015

PPTW2015

Assalamualaikum.

Sepanjang 20, 21 dan 22 November 2015 telah berlangsung Program Pesta Pantun Tunas Warisan 2015 anjuran Kolej Ibu Zain.


Aku masuk Program Pesta Pantun under AJK Protokol dengan Ibrah Pengalaman pertama terlibat dengan satu program. Kena buat surat jemputan, surat juri, teks ucapan, tentatif, aturcara dan sebagainya. Pertama kali buat benda baru mestilah ada silap yang aku buat. Tapi aku ambil semua tu sebagai satu cabaran. Tak hiduplah kalau tak ada cabaran. Kan?


PPTW2015 kali ni ada enam pasukan bertanding. Kolej Tun Syed Nasir, Kolej Tun Dr Ismail, Kolej Keris Mas, Kolej Ibrahim Yaakub dan Kolej Aminuddin Baki. Best tengok orang berpantun ni walaupun kadang-kadang tak faham apa pantun diorang. Tetapi aku tetap mencuba untuk fahamkan. Aku cuba dan akhirnya aku tetap tak faham.

Pertandingan akhir berlangsung semalam, 22 November. Kolej Tun Syed Nasir lawan Kolej Tun Dr Ismail. Yang pergi akhir pun budak sains. Sampai jurupantun tanya mana budak yang belajar bahasa dekat kampus induk ni semua. Aku pun tak tahu. Mungkin masih menyimpan bakat mereka untuk ditunjukkan tahun depan. Mungkinlah.

Apa pun, juara PPTW2015 kali ni adalah Kolej Tun Syed Nasir. Tahniah!!!!

Satu pengalaman berharga buat diri aku dan sebagai satu permulaan untuk aku bagi meneruskan program yang akan datang. Terima kasih untuk senior PPTW tahun 3 dan Abang Ijan yang ajar kitorang semua dari A sampai Z dan tolong sampai faham. Kak Liza dan Kak Yen, TERIMA KASIH.

"Seni Berpantun Cerminan Warisan Budaya"


Dengan Cik Ibrah kita
In Progress : PPIB2015/2016

Hati Kau Keras,
Roii

Thursday, 19 November 2015

EMOSI

Assalamualaikum.

Kebetulan masa 22 Oktober 2015 kelas citra Islam dan Psikologi aku belajar topik Emosi Pada Perspektif Barat dan Islam. Aku ambil kesempatan dengan tema blog yang Sir bagi minggu ni untuk cerita balik apa yang aku belajar.


Secara umum emosi adalah perasaan, perbuatan, percakapan yang ditunjukkan melalui wajah.

Dari perspektif BARAT emosi adalah satu set interaksi yang kompleks melibatkan faktor subjektif dan objektif melalui sistem hormon neutral yang:
a) give rise to affective experiences
b) generate cognitive processes
c) activate widespread physiological adjustments
d) lead to behavior that is often, not always
*lupa nak translate nota bahasa Inggeris dekat slide. Kahhhh

Mengapa Emosi Penting?
a) Untuk menunjukkan reaksi terhadap seseorang atau kejadian
b) Memberi pengaruh kepada orang sekeliling
c) Membuat keputusan

Ciri-ciri Emosi
a) Emosi lebih luas maknanya dari perasaan
b) Emosi melibatkan perasaan, pemikiran, perubahan fisiologi dan tingkahlaku
c) Emosi dialami sekiranya ada rangsangan

WALAUBAGAIMANAPUN,
Tidak semua keadaan emosi menjadi pendorong DAN tidak semua pendorong disebabkan emosi.

Daripada tokoh emosi Barat Plutchik's (1980), emosi boleh diaplikasi ke atas manusia dan haiwan.

Lapan emosi asas manusia adalah TAKUT, MELUAT, MARAH, TERPERANJAT, GEMBIRA, SEDIH, TERIMA dan JANGKA.

Dimensi Emosi
a) Intensiti
b) Keserupaan
c) Kekutuban (Benci vs Suka)

Manakala emosi dari sudut ISLAM pula tidak boleh lari dari merujuk al-Quran.
a) Emosi manusia di dalam al-Quran tersebar dalam pelbagai surah dan ayat
b) Mengikut peristiwa dan fenomena yang berlaku

Dalam Islam juga, untuk menguruskan emosi sedih atau kecewa adalah dengan menenangkan hati secara berdoa kepada Allah, memperbanyakkan solat dan amalan. Selain itu, emosi gembira/positif lebih banyak disebut di al-Quran berbanding emosi lain.

"MUKMIN SEJATI TIDAK LARUT DALAM KESEDIHANNYA DAN KEPUTUSASAANNYA"

Paling penting!! Kenapa emosi penting dalam hidup manusia?
KERANA TANPA EMOSI, HIDUP UMPAMA ROBOT.

Itu sahaja yang aku belajar sepanjang 2 jam kelas. Lain kali aku akan share apa yang aku belajar dekat post BEBAS.

Hati kau keras,
Roii

Wednesday, 18 November 2015

KARANGAN

Assalamualaikum.

Subjek kegemaran aku adalah Bahasa Melayu kertas 2 sebab boleh tulis macam-macam dan membebel dekat kertas jawapan tu. Dengan itu, aku nak tulis karangan tengah malam ni sebab tadi roommate aku belanja SUBWAY. Ehh, tibahhhh. Okay, balik kepada tajuk. Dah lama aku tak tulis karangan ni wehhh. Bismillah
.......................................................................................................................................................................

Tajuk: ?

Mutakhir ini, kanak-kanak di Malaysia mahupun di seluruh dunia sudah didedahkan dengan teknologi seperti telefon bimbit, komputer riba, permainan video dan sebagainya seawal usia 1 tahun. Generasi Z kini sungguh berbeza dengan diri kita iaitu generasi Y. Mungkin semasa kita kanak-kanak teknologi tidak secanggih kini, tapi kini boleh membendung gejala ini kepada generasi Z dengan mendidik atau mengasuh mereka dengan cara yang sedikit berbeza semenjak mereka kecil lagi. Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling untuk menjayakan perkara ini.

Ibu bapa boleh mendidik dengan cara tidak memperkenalkan gajet kepada anak-anak mereka semasa kanak-kanak terebut masih kecil lagi. Hal ini kerana, anak adalah ibarat kain putih dan ibu bapa yang akan mencorakkan masa depan anak-anak mereka di atas kain putih tersebut. Ibu bapa boleh mengelakkan perkara ini dengan tidak menggunakan gajet di hadapan anak-anak secara kebiasaan. Bagilah anak-anak anda permainan yang sesuai dengan usia mereka jika mereka menangis atau memujuk mereka. Jangan dibiasakan dengan memberi gajet kepada anak-anak anda untuk memberhentikan mereka daripada menangis. Ironinya, perkara tersebut mestilah dielakkan supaya kanak-kanak tidak terlampau terdedah dengan gajet pada awal usia mereka.

Selain daripada itu, ibu bapa atau keluarga terdekat boleh membut sesuatu perkara untuk mengelakkan kanak-kanak taksub dengan gajet seperti membuatkan mereka tertarik dengan sesuatu perkara lain dengan cara mencari hobi yang sesuai untuk mereka. Contohnya, keluarga seperti kakak atau abang boleh mengajar adik mereka untuk melakukan sesuatu aktiviti yang menarik seperti membaca buku, bermain bola atau aktiviti sukan lain yang bersesuaian. Mereka juga boleh membuat perpustakaan mini di rumah untuk memupuk minat membaca dalam diri seseorang itu. Mungkin daripada sini, kanak-kanak tersebut akan mempunyai satu hobi yang tetap dan mereka akan menggunakan masa terluang untuk melakukan hobi mereka. Oleh itu, ini akan dapat mengurangkan penggunaan gajet oleh kanak-kanak.

Akhir sekali, guru di sekolah juga boleh memainkan peranan untuk mengurangkan penggunaan gajet dalam kalangan pelajar, Antaranya dengan mengajar atau memberitahu tentang kebaikan dan keburukan jika menggunakan gajet terlampau kerap. Seperti, jika menggunakan komputer riba atau bermain permainan video secara kerap boleh menyebabkan mata seseorang itu menjadi rabun atau mengalami masalah mata yang lain. Siapa tahu dengan cara ini pelajar akan mengurangkan penggunaan gajet dalam aktiviti seharian kita. Justeru itu, guru juga memainkan peranan yang penting dalam hidup pelajar untuk mengubah mereka.

Intihanya, usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi penggunaan gajet oleh kanak-kanak. Semua pihak yang dekat dengan kanak-kanak harus memainkan peranan masing-masing untuk melahirkan masyarakat yang berdaya saing pada masa akan datang. Justeru itu, kita hendaklah mengubah kanak-kanak dari sekarang supaya mereka dapat melakukan perkara yang sama kepada anak-anak mereka suatu hari nanti.

TERIMA KASIH,
Roii

Thursday, 12 November 2015

CUTI

Assalamualaikum.

Sempena cuti pertengahan semester I dan sebagai pelajar tahun 1 sesi 2015/2016, tema blog kali ni adalah CUTI. Nak cerita pasal apa aku buat waktu cuti ni atau nak cerita pasal aku pergi bercuti dulu-dulu kala? Aku keliru. Tunggulah kesudahan post kali ni bagaimana.

Cuti mula 7 November 2015, tapi 5 November 2015 aku sudah berangkat pulang ke kampung halaman. Nampak betapa tak sabarnya nak balik tu. Kemas bilik macam nak ditinggalkan bilik tu sebulan. Bersih, kosong macam tak berpenghuni. Dah dapat bayangkan dah cuti semester nanti macam mana. Kah

Balik ke kampung halaman dengan Qila. Naik bas dari TBS ke Batu Pahat. Sampai pun dah nak pukul 12 tengah malam. Baibai Qila~

Cuti ni tak buat apa dan tak pergi mana sebab takda siapa dekat rumah. Waktu aku baliklah adik beradik aku yang lain tak balik. Dugaan. Buat aktiviti harian macam mana selalu aku buat dekat rumah waktu cuti lepas habis SPM, habis matrik. Maklumlah, aku tak pernah kerja waktu cuti panjang-panjang ni. Dah biasa jadi pembantu Mak dekat rumah 24jam.

Cuti ni tetiba dapat berita duit PTPTN masuk. Hahhahahahaha. Jangan boros woii. Bayar yuran dulu kalau belum bayar. Simpan. Banyak lebih duit tu. Boleh guna masa Sem II. Tolong bayangkan bakal-bakal buku anda pada Sem II nanti. Tebal ataupun nipis. Mahal ataupun murah.

Cuti pun buku tak boleh tinggal sebab naik cuti nanti dah ada exam yang menunggu giliran masing-masing. Tabah wehh tabah, tak  boleh mengeluh. Harap Raihana dapat mengawal semua keadaan dengan tenang tanpa sebarang tekanan dan gangguan daripada anasir-anasir jahat. Aminnnn.

Ahad ni aku dah balik semula ke rumah nombor 2. Sekejap je dah habis seminggu cuti. Selamat menghabiskan sisa-sisa cuti anda semua gaissss.

Hati kau keras,
Roii
Rindu nak buat kerja gila dengan korang. Kbye

Monday, 2 November 2015

NOVEMBER

Assalamualaikum.

Hari ni dah pun masuk bulan NovemberSekejap je masa berlalu dan sedar tak sedar dah dua bulan aku duduk dekat UKM ni. Tak sampai dua bulan dah nak masuk tahun 2016. Dan tak sampai dua bulan jugak dah nak final exam walaupun midterm punya exam tak habis lagi. Aku rasa macam baru semalam daftar masuk sini. Kah~ Sedar la Raihana dah dua bulan kau dekat sini, jangan nak berangan bukan-bukan.

Sepanjang duduk dekat sini bertambah banyak, banyak, banyak dan banyak lagi ilmu yang aku dapat dan belajar benda yang aku tak pernah tahu langsung, terutamanya Aplikasi Komputer. Selalu menghadap laptop guna Microsoft tapi tak tahu sangat semua fungsi Microsoft Word, Microsoft Excel, Microsort Access, PowerPoint - Itulah aku. Terima kasih Sir ajar semua ni.

Dapat lebih ramai kawan sepanjang dekat sini? Memanglah. Tak hidup la aku kalau takda kawan. Lagi-lagi bila dapat ramai kawan yang satu kepala, memang bahagia hidup dekat kolej ni. Takda nak mereput sorang-sorang kalau bosan.

Paling penting minggu depan dah mula cuti pertengahan. Tak sabar rasanya nak balik, nak duduk rumah 24jam! Tapi naik cuti nanti ada tiga exam lagi. Memang tak cutilah aku dekat rumah tu. Balik kampung pun kena angkut semua buku sekali. Dengan jadual final exam pun dah keluar. Hahahaha, tabahkan hati anda semua wahai rakyat UKM.

Apa pun, SELAMAT BERCUTI warga UKM~~
Selamat Hari Graduasi kepada graduan UKM2015!!

NAFSU

Assalamualaikum.

Nafsu?? Keinginan melampau terhadap sesuatu benda. Nafsu aku lebih kepada nak makan banyak-banyak makanan setiap hari. Dari dulu sampai la dah umur 19 ni. Kalau boleh aku nak makan 4 kali sehari. Cukup dengan makan pagi, tengahari, petang, malam. Ya Tuhan, bahagianya hidup aku kalau macam ni.

Tapi kalau nafsu makan tu tinggi sampai mampu pergi Foodgasm Festival segala, janganlah tak reti buang sampah pulak. Pandai makan mestilah kena pandai buang. Aku tengok gambar dekat twitter semalam bukan main sampah buang merata macam tu je. Apa kau fikir tu rumah kau nak buang sesuka hati? Memanglah nanti ada orang bersihkan, tapi agak ahhh. Sampah kau, tanggungjawab kau la. Tak faham betul manusia jenis ni.

Maaf, aku tercerita pasal makanan lagi. Tak dapat nak dielakkan antara nafsu aku dekat makanan.
.......................................................................................................................................................................

Maksud nafsu adalah keinginan atau mungkin kecenderungan hati yang kuat terhadap sesuatu benda. Kalau nafsu terhadap makanan itu lebih dikenali sebagai hawa nafsu.

Setiap manusia ada nafsu tersendiri. Kalau kita pandai jaga nafsu kita, Insya Allah ia akan bagi kebaikan dekat kita dan orang sekeliling kita. Tapi kalau nafsu tersebut cenderung ke arah kejahatan atau kemungkaran, maka seseorang itu akan menjadi teruk. Orang tersebut mungkin akan jadi pemimpin yang berhati kejam kepada rakyatnya, mungkin juga akan jadi manusia yang baik tapi sebenarnya jahat dalam diam dan pelbagai lagi kemungkinan yang akan berlaku.

Sebab tu kita semua kena jaga nafsu kita elok-elok dan jangan lakukan kemungkaran. Kan Allah dah kurniakan semua manusia akal, fikirlah elok-elok. Jangan nak ikut nafsu sangat terutamanya yang ke arah negatif.

Setakat nafsu nak makan tu takpalah lagi kalau kau mampu nak perhabis duit dekat situ.

Ikhlas,
Raihana Bundawan.

SPM 2013

Assalamualaikum.

Minggu ni bermula minggu SPM dan STPM. Dah dua tahun berlalu waktu aku periksa SPM. Zaman menguji keimanan dan mental aku.

Lepas dapat keputusan PMR, naik tahun 2012 aku diberi pilihan masuk ke kelas sains. Entah kenapa dan bagaimana aku pun nak je masuk kelas sains walaupun aku tak berapa gemar subjek 3 serangkai tu. Nasib waktu budak batch96 sekolah aku tak wujudkan lagi kelas sains tulen semata-mata, jadi aku pun tambah la subjek Perakaunan. Maka dengan itu, SPM 2013 aku ambil 10 subjek.

Aku minat subjek Perakaunan tapi tak tahu kenapa aku tak masuk kelas perdagangan. Yela, tak payah nak susah payah belajar subjek 3 serangkai. Tapi aku ambil dari sudut positif mungkin aku perlu belajar subjek  3 serangkai tu untuk menambahkan pengetahuan aku. Sekurangnya-kurangnya aku belajar dengan lebih mendalam ubjek sains yang budak kelas perdagangan belajar.

Masuk tingkatan 5 takda rasa senior sangat sebab ada budak tingkatan 6 Atas. Oh ya, budak kelas aku ramai budak Cina dan diorang teramatlah pandai. Selalunya kedudukan 1 sampai 10 dalam kelas semua budak Cina, budak Melayu yang terselit pun sorang dua je. Dan yang pasti budak Melayu tu bukan aku. Secara tak langsung diorang bagi semangat dekat aku nak belajar bersungguh-sungguh untuk fight kedudukan dalam kelas.

Dua tahun ni jugak aku jadi penolong kelas. tanggungjawab tak besar mana. Tapi kalau aku takda lingkup jugak budak kelas aku ni kekadang.

Tahun 2013 ni aku belajar banyak benda, jumpa pelbagai karenah manusia sekeliling aku. Ada yang baik, ada yang buat sakit jantung, sakit hati dan macam-macam. Tahun 2013 juga buat aku jadi lebih semangat nak belajar.



Dan Alhamdulillah, keputusan SPM aku hanya A B C sahaja dan aku score subjek 3 serangkai. Tu paling penting. Dengan keputusan SPM tu, aku dapat masuk matrik. Kenapa tak dapat masuk Diploma? Dah Allah tentukan rezeki aku untuk masuk matrik sahaja. Bersyukurlah.

Semoga berjaya kepada calon SPM 2015.

Budak 5 Arif SMKTI yang mula periksa STPM esok - Anira, Anisah, Ziqa, Malik, Nuruddin, Wee Quan. Subjek Pengajian Am kan esok?? Semoga berjaya korang semua!! Aku tahu korang dah belajar sehabis baik. Jawab soalan jangan gelabah. Semoga dipermudahkan urusan kalian semua oleh Allah.

Calon SPM 2013,
Raihana Bundawan.