Assalamualaikum.
Subjek kegemaran aku adalah Bahasa Melayu kertas 2 sebab boleh tulis macam-macam dan membebel dekat kertas jawapan tu. Dengan itu, aku nak tulis karangan tengah malam ni sebab tadi roommate aku belanja SUBWAY. Ehh, tibahhhh. Okay, balik kepada tajuk. Dah lama aku tak tulis karangan ni wehhh. Bismillah
.......................................................................................................................................................................
Tajuk: ?
Mutakhir ini, kanak-kanak di Malaysia mahupun di seluruh dunia sudah didedahkan dengan teknologi seperti telefon bimbit, komputer riba, permainan video dan sebagainya seawal usia 1 tahun. Generasi Z kini sungguh berbeza dengan diri kita iaitu generasi Y. Mungkin semasa kita kanak-kanak teknologi tidak secanggih kini, tapi kini boleh membendung gejala ini kepada generasi Z dengan mendidik atau mengasuh mereka dengan cara yang sedikit berbeza semenjak mereka kecil lagi. Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling untuk menjayakan perkara ini.
Ibu bapa boleh mendidik dengan cara tidak memperkenalkan gajet kepada anak-anak mereka semasa kanak-kanak terebut masih kecil lagi. Hal ini kerana, anak adalah ibarat kain putih dan ibu bapa yang akan mencorakkan masa depan anak-anak mereka di atas kain putih tersebut. Ibu bapa boleh mengelakkan perkara ini dengan tidak menggunakan gajet di hadapan anak-anak secara kebiasaan. Bagilah anak-anak anda permainan yang sesuai dengan usia mereka jika mereka menangis atau memujuk mereka. Jangan dibiasakan dengan memberi gajet kepada anak-anak anda untuk memberhentikan mereka daripada menangis. Ironinya, perkara tersebut mestilah dielakkan supaya kanak-kanak tidak terlampau terdedah dengan gajet pada awal usia mereka.
Selain daripada itu, ibu bapa atau keluarga terdekat boleh membut sesuatu perkara untuk mengelakkan kanak-kanak taksub dengan gajet seperti membuatkan mereka tertarik dengan sesuatu perkara lain dengan cara mencari hobi yang sesuai untuk mereka. Contohnya, keluarga seperti kakak atau abang boleh mengajar adik mereka untuk melakukan sesuatu aktiviti yang menarik seperti membaca buku, bermain bola atau aktiviti sukan lain yang bersesuaian. Mereka juga boleh membuat perpustakaan mini di rumah untuk memupuk minat membaca dalam diri seseorang itu. Mungkin daripada sini, kanak-kanak tersebut akan mempunyai satu hobi yang tetap dan mereka akan menggunakan masa terluang untuk melakukan hobi mereka. Oleh itu, ini akan dapat mengurangkan penggunaan gajet oleh kanak-kanak.
Akhir sekali, guru di sekolah juga boleh memainkan peranan untuk mengurangkan penggunaan gajet dalam kalangan pelajar, Antaranya dengan mengajar atau memberitahu tentang kebaikan dan keburukan jika menggunakan gajet terlampau kerap. Seperti, jika menggunakan komputer riba atau bermain permainan video secara kerap boleh menyebabkan mata seseorang itu menjadi rabun atau mengalami masalah mata yang lain. Siapa tahu dengan cara ini pelajar akan mengurangkan penggunaan gajet dalam aktiviti seharian kita. Justeru itu, guru juga memainkan peranan yang penting dalam hidup pelajar untuk mengubah mereka.
Intihanya, usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi penggunaan gajet oleh kanak-kanak. Semua pihak yang dekat dengan kanak-kanak harus memainkan peranan masing-masing untuk melahirkan masyarakat yang berdaya saing pada masa akan datang. Justeru itu, kita hendaklah mengubah kanak-kanak dari sekarang supaya mereka dapat melakukan perkara yang sama kepada anak-anak mereka suatu hari nanti.
TERIMA KASIH,
Roii
Roii
No comments:
Post a Comment