Sunday, 13 December 2015

EPILOG

Assalamualaikum.

Sekejap je masa berlalu sampai dah nak habis semester 1.
Rasa macam baru semalam aku dapat surat tawaran masuk UKM.
Rasa macam baru semalam aku daftar masuk UKM.
Rasa macam baru semalam aku masuk kuliah pertama dekat FEP.
Rasa macam baru semalam aku dapat kenal lebih ramai kawan.
Dan tiba-tiba esok aku dah nak peperiksaan akhir.

Dapat berkawan dengan budak dari kolej lain.
Dapat berkawan dengan budak dari pelbagai fakulti.
Dapat berkawan dengan senior yang berbeza umur.

Walaupun aku tak rapat dengan semua budak yang sekelas dengan aku,
Walaupun aku tak rapat dengan semua budak blok D tahun satu,
Tapi aku masih mencuba dan mencuba untuk menjadi rapat dengan korang semua.

Aku susah nak mulakan perbualan dengan orang yang aku tak rapat,
Aku susah nak buat reaksi muka yang 'ramah' dekat orang yang aku tak kenal.

Tapi bila kau dah kawan dengan aku,
Aku akan jadi orang yang paling banyak cakap,
Aku akan jadi orang yang tak boleh duduk diam,
Aku akan jadi orang yang LAIN dari aku yang kau mula-mula kenal,
Serabut, bising, membebel tak tentu arah.

Dan terima kasih kepada Sha untuk nama baru aku.
Setiap kali pergi tempat baru, nama aku akan tetap berubah.
Dak Rai, Roii. Aku okay dengan tu semua.
Baru ukhwah sikit. Hahahahah

Terima kasih semua.

Dan selamat meneruskan perjuangan anda di UKM, Raihana

BIG BAD WOLF

Assalamualaikum.

4 Disember - 14 Disember ada pesta buku Big Bad Wolf dekat MIECC@THE MINES.


Semalam 12 Disember, disebabkan perkampungan PPIB habis awal aku pun ambil kesempatan yang ada pergi Big Bad Wolf dengan Qila.

Banyak gila buku dekat situ. Kalau diikutkan hati nak je amik semua buku yang ada. Tapi bila difikirkan balik macam mana aku nak habis baca semua buku tu, aku pun hentikan niat murni aku tu. Aku dengan Qila cuma pusing-pusing tengok buku apa je yang ada. Beli tak banyak pun even harga semua buku murah gila-gila.


Masuk balik The Mines, ramai pegang beg pastik Big Bad Wolf. Inilah sikap yang perlu ada dalam setiap rakyat Malaysia, memupuk semangat membaca dalam diri masing-masing. Tibahhh aku ni. Dan disebabkan penat jalan pusing satu MIECC, kitorang pun pergi makan. Bismillah....

Balik feeling romantik dulu dengan Qila jalan bawah terowong baru naik KTM. Hahhahaha. Jumpa lagi tahun depan Big Bad Wolf. Aku akan pastikan aku beli lebih  banyak buku berbanding tahun-tahun yang sebelumnya.

Hati kau keras,
Roii

PROLOG

Assalamualaikum.

Hari yang ditunggu telah tiba. Adakah aku dapat menjejakkan kaki ke menara gading atau tidak? Perasan risau tu hanya Allah yang tahu. Dan alhamdulillah dengan izinNya aku berjaya mendapat tawaran untuk mendaftar di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pelajar Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

Pebagai persiapan dilakukan sepanjang minggu tersebut. Buat ujian kesihatan, buat akaun Bank Islam dan segala kelengkapan lain. Perasaan takut untuk bergelar pelajar universiti bermula. Boleh ke aku nak survive duduk dekat universiti ni? Ada ke orang nak berkawan dengan aku nanti? Macam-macam soalan bermain di kepala.

Sehari sebelum daftar, stay dekat rumah kakak dulu. Malam tu langsung tak boleh tidur sebab fikir macam-macam benda termasuk benda yang tak logik dan hari tu juga aku menjadi manusia 4D.

Dan pada 1 September 2015, aku melangkah kaki ke Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mendaftar sebagai pelajar Prasiswazah. Perasaan itu....

Apakah yang akan terjadi dalam hidup aku? Adakah aku akan kekal menjadi Raihana yang sama dengan Raihana yang dulu. Adakah aku akan berjaya menghadapi hari-hari mendatang tanpa homesick?


Hati kau keras,
Roii

KEBAHAGIAAN

Assalamualaikum.

Apa itu kebahagiaan? Bagi aku kebahagiaan tu sesuatu benda yang boleh membuatkan diri kau tak perlu rasa sedih, stress fikirkan masalah dunia dengan adanya kehadiran manusia tersebut yang sentiasa ada di sekeliling kau.

Kalau dekat rumah, kebahagiaan aku adalah keluarga besar aku. Abah, Emak dan adik-beradik aku. Walaupun kekadang tersentap antara satu sama lain, teremosi lebih, tergurau kasar sangat, mereka semua tetap kebahagiaan yang PALING PENTING dalam hidup aku. Walaupun ada jarak umur yang besar antara kami adik-beradik, kitorang semua tetap sehati, sejiwa dan segila yang tak terduga lagi dijangka.
Kebahagiaan dekat luar rumah atau di alam sosial adalah kawan-kawan aku. Walaupun tak rapat mana dengan semua, tapi diorang masih tetap sumber kebahagiaan aku. Yang sanggup buat muka kelakar nak bagi orang gelak, yang perangai tak tahu malu.


Tak lupa juga, kebahagiaan duduk dekat universiti ni adalah budak-budak blok D yang memahami diri ini dan kawan-kawan sekuliah yang sekepala dengan aku. Walaupun tak semua, tetapi masih ada yang sanggup mewarnai hidup ini. Terima kasih geng sekalian. Good luck untuk final.

Hati kau keras,
Roii

Sunday, 6 December 2015

NEVER REMEMBER

Assalamualaikum.

Never Remember; JANGAN DIINGAT.

Jangan pernah diingat masa lampau kau.
Jangan pernah diingat waktu yang menyakitkan hati kau.
Jangan pernah diingat kenangan yang menyeksa kau.
Jangan pernah diingat zaman kejahilan kau.
Jangan pernah diingat waktu kau dihina, dicaci.

Tapi,
Ingatlah Allah swt yang memberi kau nafas untuk berada di dunia ini.
Ingatlah ibu bapa yang membesarkan kau. 
Ingatlah orang yang sanggup bangun, jatuh dengan kau waktu susah.
Ingatlah waktu kau bangun dari kesusahan atau kesempitan.

Walaupun dihina dan dicaci oleh orang mahupun kenangan zaman lampau kau yang teruk. Ingatlah kita masih punya Allah swt yang mengasihi, merahmati dan menyayangi kita. Dan ingatlah ibu bapa kita yang sanggup membesarkan kita dari kecil sehingga dewasa.

Jangan pernah mengalah. Lupakan semua kenangan lepas.

"NEVER REMEMBER YOUR OLD MEMORIES THAT WILL MAKE YOUR HEART BREAK"

Hati kau keras,
Roii

PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

Assalamualaikum.

Pada kelas bertarikh 15 Oktober 2015, aku telah belajar tajuk PERKEMBANGAN KANAK-KANAK dalam aspek Islam dan Psikologi.

Adalah sangat mudah untuk membentuk peribadi kanak-kanak iaitu dengan berinteraksi, mendidik dan mengajar.

PROSES
a) Perubahan dari aspek biologi, kognitif dan sosoemosi
b) Secara sistematik (fitrah)
c) Aspek rohani dan sosial

Ini semua adalah untuk mencetuskan potensi diri kanak-kanak tersebut.

PERTUMBUHAN DAN PERCANTUMAN
i) Surah al-Mukminin, ayat 12-16
ii) Hadith Ibn Mas'ud
iii) Surah al-'Araf, ayat 172
iv) Pendapat Ibn Abbas

INTERAKSI & PERBELANJARAN adalah untuk kematangan dan pembelajaran kanak-kanak tersebut. Ia juga untuk kepentingan pembelanjaran dan perkembangan emosi kanak-kanak.

FAKTOR MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN
a) Aspek Rohani, Jasmani, Kognitif, Emosi, Sosial
b) Dan dua faktor asas iaitu baka dan persekitaran (ekosistem, kronosistem)

SOSIALISASI (Proses interaksi antara dua orang yang bertukar-tukar niai)
i) Setiap bayi lahir dalam fitrah
ii) Agen sosialisasi

PERKEMBANGAN KOGNITIF
Kematangan > Interaksi > Pengaruh Sosial > Keseimbangan/Adaptasi

PERKEMBANGAN KANAK-KANAK
i) Sensori motor (0-2 tahun) : Deria rasa
ii) Pra operasi (2-7 tahun) : Bahasa yang mudah
iii) Operasi konkrit (7-11 tahun) : Fikir secara logik, Tidak mampu abstrak
iv) Operasi normal (>11 tahun) : Mampu fikir abstrak, Membuat andaian

Hati kau keras,
Roii

Saturday, 28 November 2015

HURUF 'D'

ADA APA DENGAN 'D'

DENDAM
Jadi manusia jangan ada sikap dendam yang terlampau dekat seseorang dan kalau boleh kau jangan simpan perasaan dendam tu sekalipun. Kelak kau yang akan rasa sakitnya akhir nanti. Tak dapat faedah apa pun simpan dendam dekat orang lain. Jadi maafkanlah walau perit mana sekalipun.

DOSA
Setiap manusia takkan lari daripada melakukan dosa sama ada besar atau kecil mahupun dalam sedar atau tidak. Apa yang boleh dibuat adalah bertaubat kepada Allah swt supaya diampun dosa kita semua. Ingatlah, tak ada manusia sempurna dekat dunia ni. Mungkin hanya 1 dalam 1000000 sahaja manusia yang sempurna.

DOA
Senjata umat Islam adalah doa.  Kalau ada masalah, berdoa kepada Allah. Jangan lepaskan perasaan sedih dan marah dekat orang lain selalu. Kita boleh tenangkan diri dengan berdoa dan mengadu kepadaNya. Dan tak semestinya kau kena berdoa waktu kau susah sahaja. Waktu senang pun ingatlah Allah, berdoalah kepadaNya.

DUKA
Kalau berduka jangan lama sangat. Kalau kau sorok perasaan duka kau lama-lama, kau akan makin sakit dan sakit yang teramat. Kau kena yakin dengan diri kau. Tidak ada duka yang kekal di dunia ni, InsyaAllah pasti ada penawarnya.

DUNIA
Dunia makin lama makin tua. Seiring dengan usia kita yang semakin lama semakin meningkat. Bila-bila masa sahaja kau boleh tinggalkan dunia ni. Sama ada cepat atau lambat, muda atau tua, esok mahupun lusa. Maka buatlah amal kebaikan di dunia ini selagi masih diberikan nyawa.

Hati kau keras,
Roii

Monday, 23 November 2015

PPTW2015

Assalamualaikum.

Sepanjang 20, 21 dan 22 November 2015 telah berlangsung Program Pesta Pantun Tunas Warisan 2015 anjuran Kolej Ibu Zain.


Aku masuk Program Pesta Pantun under AJK Protokol dengan Ibrah Pengalaman pertama terlibat dengan satu program. Kena buat surat jemputan, surat juri, teks ucapan, tentatif, aturcara dan sebagainya. Pertama kali buat benda baru mestilah ada silap yang aku buat. Tapi aku ambil semua tu sebagai satu cabaran. Tak hiduplah kalau tak ada cabaran. Kan?


PPTW2015 kali ni ada enam pasukan bertanding. Kolej Tun Syed Nasir, Kolej Tun Dr Ismail, Kolej Keris Mas, Kolej Ibrahim Yaakub dan Kolej Aminuddin Baki. Best tengok orang berpantun ni walaupun kadang-kadang tak faham apa pantun diorang. Tetapi aku tetap mencuba untuk fahamkan. Aku cuba dan akhirnya aku tetap tak faham.

Pertandingan akhir berlangsung semalam, 22 November. Kolej Tun Syed Nasir lawan Kolej Tun Dr Ismail. Yang pergi akhir pun budak sains. Sampai jurupantun tanya mana budak yang belajar bahasa dekat kampus induk ni semua. Aku pun tak tahu. Mungkin masih menyimpan bakat mereka untuk ditunjukkan tahun depan. Mungkinlah.

Apa pun, juara PPTW2015 kali ni adalah Kolej Tun Syed Nasir. Tahniah!!!!

Satu pengalaman berharga buat diri aku dan sebagai satu permulaan untuk aku bagi meneruskan program yang akan datang. Terima kasih untuk senior PPTW tahun 3 dan Abang Ijan yang ajar kitorang semua dari A sampai Z dan tolong sampai faham. Kak Liza dan Kak Yen, TERIMA KASIH.

"Seni Berpantun Cerminan Warisan Budaya"


Dengan Cik Ibrah kita
In Progress : PPIB2015/2016

Hati Kau Keras,
Roii

Thursday, 19 November 2015

EMOSI

Assalamualaikum.

Kebetulan masa 22 Oktober 2015 kelas citra Islam dan Psikologi aku belajar topik Emosi Pada Perspektif Barat dan Islam. Aku ambil kesempatan dengan tema blog yang Sir bagi minggu ni untuk cerita balik apa yang aku belajar.


Secara umum emosi adalah perasaan, perbuatan, percakapan yang ditunjukkan melalui wajah.

Dari perspektif BARAT emosi adalah satu set interaksi yang kompleks melibatkan faktor subjektif dan objektif melalui sistem hormon neutral yang:
a) give rise to affective experiences
b) generate cognitive processes
c) activate widespread physiological adjustments
d) lead to behavior that is often, not always
*lupa nak translate nota bahasa Inggeris dekat slide. Kahhhh

Mengapa Emosi Penting?
a) Untuk menunjukkan reaksi terhadap seseorang atau kejadian
b) Memberi pengaruh kepada orang sekeliling
c) Membuat keputusan

Ciri-ciri Emosi
a) Emosi lebih luas maknanya dari perasaan
b) Emosi melibatkan perasaan, pemikiran, perubahan fisiologi dan tingkahlaku
c) Emosi dialami sekiranya ada rangsangan

WALAUBAGAIMANAPUN,
Tidak semua keadaan emosi menjadi pendorong DAN tidak semua pendorong disebabkan emosi.

Daripada tokoh emosi Barat Plutchik's (1980), emosi boleh diaplikasi ke atas manusia dan haiwan.

Lapan emosi asas manusia adalah TAKUT, MELUAT, MARAH, TERPERANJAT, GEMBIRA, SEDIH, TERIMA dan JANGKA.

Dimensi Emosi
a) Intensiti
b) Keserupaan
c) Kekutuban (Benci vs Suka)

Manakala emosi dari sudut ISLAM pula tidak boleh lari dari merujuk al-Quran.
a) Emosi manusia di dalam al-Quran tersebar dalam pelbagai surah dan ayat
b) Mengikut peristiwa dan fenomena yang berlaku

Dalam Islam juga, untuk menguruskan emosi sedih atau kecewa adalah dengan menenangkan hati secara berdoa kepada Allah, memperbanyakkan solat dan amalan. Selain itu, emosi gembira/positif lebih banyak disebut di al-Quran berbanding emosi lain.

"MUKMIN SEJATI TIDAK LARUT DALAM KESEDIHANNYA DAN KEPUTUSASAANNYA"

Paling penting!! Kenapa emosi penting dalam hidup manusia?
KERANA TANPA EMOSI, HIDUP UMPAMA ROBOT.

Itu sahaja yang aku belajar sepanjang 2 jam kelas. Lain kali aku akan share apa yang aku belajar dekat post BEBAS.

Hati kau keras,
Roii

Wednesday, 18 November 2015

KARANGAN

Assalamualaikum.

Subjek kegemaran aku adalah Bahasa Melayu kertas 2 sebab boleh tulis macam-macam dan membebel dekat kertas jawapan tu. Dengan itu, aku nak tulis karangan tengah malam ni sebab tadi roommate aku belanja SUBWAY. Ehh, tibahhhh. Okay, balik kepada tajuk. Dah lama aku tak tulis karangan ni wehhh. Bismillah
.......................................................................................................................................................................

Tajuk: ?

Mutakhir ini, kanak-kanak di Malaysia mahupun di seluruh dunia sudah didedahkan dengan teknologi seperti telefon bimbit, komputer riba, permainan video dan sebagainya seawal usia 1 tahun. Generasi Z kini sungguh berbeza dengan diri kita iaitu generasi Y. Mungkin semasa kita kanak-kanak teknologi tidak secanggih kini, tapi kini boleh membendung gejala ini kepada generasi Z dengan mendidik atau mengasuh mereka dengan cara yang sedikit berbeza semenjak mereka kecil lagi. Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling untuk menjayakan perkara ini.

Ibu bapa boleh mendidik dengan cara tidak memperkenalkan gajet kepada anak-anak mereka semasa kanak-kanak terebut masih kecil lagi. Hal ini kerana, anak adalah ibarat kain putih dan ibu bapa yang akan mencorakkan masa depan anak-anak mereka di atas kain putih tersebut. Ibu bapa boleh mengelakkan perkara ini dengan tidak menggunakan gajet di hadapan anak-anak secara kebiasaan. Bagilah anak-anak anda permainan yang sesuai dengan usia mereka jika mereka menangis atau memujuk mereka. Jangan dibiasakan dengan memberi gajet kepada anak-anak anda untuk memberhentikan mereka daripada menangis. Ironinya, perkara tersebut mestilah dielakkan supaya kanak-kanak tidak terlampau terdedah dengan gajet pada awal usia mereka.

Selain daripada itu, ibu bapa atau keluarga terdekat boleh membut sesuatu perkara untuk mengelakkan kanak-kanak taksub dengan gajet seperti membuatkan mereka tertarik dengan sesuatu perkara lain dengan cara mencari hobi yang sesuai untuk mereka. Contohnya, keluarga seperti kakak atau abang boleh mengajar adik mereka untuk melakukan sesuatu aktiviti yang menarik seperti membaca buku, bermain bola atau aktiviti sukan lain yang bersesuaian. Mereka juga boleh membuat perpustakaan mini di rumah untuk memupuk minat membaca dalam diri seseorang itu. Mungkin daripada sini, kanak-kanak tersebut akan mempunyai satu hobi yang tetap dan mereka akan menggunakan masa terluang untuk melakukan hobi mereka. Oleh itu, ini akan dapat mengurangkan penggunaan gajet oleh kanak-kanak.

Akhir sekali, guru di sekolah juga boleh memainkan peranan untuk mengurangkan penggunaan gajet dalam kalangan pelajar, Antaranya dengan mengajar atau memberitahu tentang kebaikan dan keburukan jika menggunakan gajet terlampau kerap. Seperti, jika menggunakan komputer riba atau bermain permainan video secara kerap boleh menyebabkan mata seseorang itu menjadi rabun atau mengalami masalah mata yang lain. Siapa tahu dengan cara ini pelajar akan mengurangkan penggunaan gajet dalam aktiviti seharian kita. Justeru itu, guru juga memainkan peranan yang penting dalam hidup pelajar untuk mengubah mereka.

Intihanya, usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi penggunaan gajet oleh kanak-kanak. Semua pihak yang dekat dengan kanak-kanak harus memainkan peranan masing-masing untuk melahirkan masyarakat yang berdaya saing pada masa akan datang. Justeru itu, kita hendaklah mengubah kanak-kanak dari sekarang supaya mereka dapat melakukan perkara yang sama kepada anak-anak mereka suatu hari nanti.

TERIMA KASIH,
Roii

Thursday, 12 November 2015

CUTI

Assalamualaikum.

Sempena cuti pertengahan semester I dan sebagai pelajar tahun 1 sesi 2015/2016, tema blog kali ni adalah CUTI. Nak cerita pasal apa aku buat waktu cuti ni atau nak cerita pasal aku pergi bercuti dulu-dulu kala? Aku keliru. Tunggulah kesudahan post kali ni bagaimana.

Cuti mula 7 November 2015, tapi 5 November 2015 aku sudah berangkat pulang ke kampung halaman. Nampak betapa tak sabarnya nak balik tu. Kemas bilik macam nak ditinggalkan bilik tu sebulan. Bersih, kosong macam tak berpenghuni. Dah dapat bayangkan dah cuti semester nanti macam mana. Kah

Balik ke kampung halaman dengan Qila. Naik bas dari TBS ke Batu Pahat. Sampai pun dah nak pukul 12 tengah malam. Baibai Qila~

Cuti ni tak buat apa dan tak pergi mana sebab takda siapa dekat rumah. Waktu aku baliklah adik beradik aku yang lain tak balik. Dugaan. Buat aktiviti harian macam mana selalu aku buat dekat rumah waktu cuti lepas habis SPM, habis matrik. Maklumlah, aku tak pernah kerja waktu cuti panjang-panjang ni. Dah biasa jadi pembantu Mak dekat rumah 24jam.

Cuti ni tetiba dapat berita duit PTPTN masuk. Hahhahahahaha. Jangan boros woii. Bayar yuran dulu kalau belum bayar. Simpan. Banyak lebih duit tu. Boleh guna masa Sem II. Tolong bayangkan bakal-bakal buku anda pada Sem II nanti. Tebal ataupun nipis. Mahal ataupun murah.

Cuti pun buku tak boleh tinggal sebab naik cuti nanti dah ada exam yang menunggu giliran masing-masing. Tabah wehh tabah, tak  boleh mengeluh. Harap Raihana dapat mengawal semua keadaan dengan tenang tanpa sebarang tekanan dan gangguan daripada anasir-anasir jahat. Aminnnn.

Ahad ni aku dah balik semula ke rumah nombor 2. Sekejap je dah habis seminggu cuti. Selamat menghabiskan sisa-sisa cuti anda semua gaissss.

Hati kau keras,
Roii
Rindu nak buat kerja gila dengan korang. Kbye

Monday, 2 November 2015

NOVEMBER

Assalamualaikum.

Hari ni dah pun masuk bulan NovemberSekejap je masa berlalu dan sedar tak sedar dah dua bulan aku duduk dekat UKM ni. Tak sampai dua bulan dah nak masuk tahun 2016. Dan tak sampai dua bulan jugak dah nak final exam walaupun midterm punya exam tak habis lagi. Aku rasa macam baru semalam daftar masuk sini. Kah~ Sedar la Raihana dah dua bulan kau dekat sini, jangan nak berangan bukan-bukan.

Sepanjang duduk dekat sini bertambah banyak, banyak, banyak dan banyak lagi ilmu yang aku dapat dan belajar benda yang aku tak pernah tahu langsung, terutamanya Aplikasi Komputer. Selalu menghadap laptop guna Microsoft tapi tak tahu sangat semua fungsi Microsoft Word, Microsoft Excel, Microsort Access, PowerPoint - Itulah aku. Terima kasih Sir ajar semua ni.

Dapat lebih ramai kawan sepanjang dekat sini? Memanglah. Tak hidup la aku kalau takda kawan. Lagi-lagi bila dapat ramai kawan yang satu kepala, memang bahagia hidup dekat kolej ni. Takda nak mereput sorang-sorang kalau bosan.

Paling penting minggu depan dah mula cuti pertengahan. Tak sabar rasanya nak balik, nak duduk rumah 24jam! Tapi naik cuti nanti ada tiga exam lagi. Memang tak cutilah aku dekat rumah tu. Balik kampung pun kena angkut semua buku sekali. Dengan jadual final exam pun dah keluar. Hahahaha, tabahkan hati anda semua wahai rakyat UKM.

Apa pun, SELAMAT BERCUTI warga UKM~~
Selamat Hari Graduasi kepada graduan UKM2015!!

NAFSU

Assalamualaikum.

Nafsu?? Keinginan melampau terhadap sesuatu benda. Nafsu aku lebih kepada nak makan banyak-banyak makanan setiap hari. Dari dulu sampai la dah umur 19 ni. Kalau boleh aku nak makan 4 kali sehari. Cukup dengan makan pagi, tengahari, petang, malam. Ya Tuhan, bahagianya hidup aku kalau macam ni.

Tapi kalau nafsu makan tu tinggi sampai mampu pergi Foodgasm Festival segala, janganlah tak reti buang sampah pulak. Pandai makan mestilah kena pandai buang. Aku tengok gambar dekat twitter semalam bukan main sampah buang merata macam tu je. Apa kau fikir tu rumah kau nak buang sesuka hati? Memanglah nanti ada orang bersihkan, tapi agak ahhh. Sampah kau, tanggungjawab kau la. Tak faham betul manusia jenis ni.

Maaf, aku tercerita pasal makanan lagi. Tak dapat nak dielakkan antara nafsu aku dekat makanan.
.......................................................................................................................................................................

Maksud nafsu adalah keinginan atau mungkin kecenderungan hati yang kuat terhadap sesuatu benda. Kalau nafsu terhadap makanan itu lebih dikenali sebagai hawa nafsu.

Setiap manusia ada nafsu tersendiri. Kalau kita pandai jaga nafsu kita, Insya Allah ia akan bagi kebaikan dekat kita dan orang sekeliling kita. Tapi kalau nafsu tersebut cenderung ke arah kejahatan atau kemungkaran, maka seseorang itu akan menjadi teruk. Orang tersebut mungkin akan jadi pemimpin yang berhati kejam kepada rakyatnya, mungkin juga akan jadi manusia yang baik tapi sebenarnya jahat dalam diam dan pelbagai lagi kemungkinan yang akan berlaku.

Sebab tu kita semua kena jaga nafsu kita elok-elok dan jangan lakukan kemungkaran. Kan Allah dah kurniakan semua manusia akal, fikirlah elok-elok. Jangan nak ikut nafsu sangat terutamanya yang ke arah negatif.

Setakat nafsu nak makan tu takpalah lagi kalau kau mampu nak perhabis duit dekat situ.

Ikhlas,
Raihana Bundawan.

SPM 2013

Assalamualaikum.

Minggu ni bermula minggu SPM dan STPM. Dah dua tahun berlalu waktu aku periksa SPM. Zaman menguji keimanan dan mental aku.

Lepas dapat keputusan PMR, naik tahun 2012 aku diberi pilihan masuk ke kelas sains. Entah kenapa dan bagaimana aku pun nak je masuk kelas sains walaupun aku tak berapa gemar subjek 3 serangkai tu. Nasib waktu budak batch96 sekolah aku tak wujudkan lagi kelas sains tulen semata-mata, jadi aku pun tambah la subjek Perakaunan. Maka dengan itu, SPM 2013 aku ambil 10 subjek.

Aku minat subjek Perakaunan tapi tak tahu kenapa aku tak masuk kelas perdagangan. Yela, tak payah nak susah payah belajar subjek 3 serangkai. Tapi aku ambil dari sudut positif mungkin aku perlu belajar subjek  3 serangkai tu untuk menambahkan pengetahuan aku. Sekurangnya-kurangnya aku belajar dengan lebih mendalam ubjek sains yang budak kelas perdagangan belajar.

Masuk tingkatan 5 takda rasa senior sangat sebab ada budak tingkatan 6 Atas. Oh ya, budak kelas aku ramai budak Cina dan diorang teramatlah pandai. Selalunya kedudukan 1 sampai 10 dalam kelas semua budak Cina, budak Melayu yang terselit pun sorang dua je. Dan yang pasti budak Melayu tu bukan aku. Secara tak langsung diorang bagi semangat dekat aku nak belajar bersungguh-sungguh untuk fight kedudukan dalam kelas.

Dua tahun ni jugak aku jadi penolong kelas. tanggungjawab tak besar mana. Tapi kalau aku takda lingkup jugak budak kelas aku ni kekadang.

Tahun 2013 ni aku belajar banyak benda, jumpa pelbagai karenah manusia sekeliling aku. Ada yang baik, ada yang buat sakit jantung, sakit hati dan macam-macam. Tahun 2013 juga buat aku jadi lebih semangat nak belajar.



Dan Alhamdulillah, keputusan SPM aku hanya A B C sahaja dan aku score subjek 3 serangkai. Tu paling penting. Dengan keputusan SPM tu, aku dapat masuk matrik. Kenapa tak dapat masuk Diploma? Dah Allah tentukan rezeki aku untuk masuk matrik sahaja. Bersyukurlah.

Semoga berjaya kepada calon SPM 2015.

Budak 5 Arif SMKTI yang mula periksa STPM esok - Anira, Anisah, Ziqa, Malik, Nuruddin, Wee Quan. Subjek Pengajian Am kan esok?? Semoga berjaya korang semua!! Aku tahu korang dah belajar sehabis baik. Jawab soalan jangan gelabah. Semoga dipermudahkan urusan kalian semua oleh Allah.

Calon SPM 2013,
Raihana Bundawan.

Monday, 26 October 2015

MAKANAN

Assalamualaikum.

Tema kali ni, MAKANAN. Disebabkan aku dah habis cerita pasal makanan dekat tema OBSES (<-- sila tekan) aku nak cerita pasal makanan dari sudut pandangan lain pulak.

MAKANAN MELAYU
Makanan melayu yang aku tahu sepanjang hidup aku adalah Nasi Lemak, Laksa, Nasi Kerabu, Nasi Dagang, Nasi Minyak, Rendang, Nasi Impit a.k.a Lontong dan banyak lagi. Nasi Minyak kau akan jumpa waktu majlis kenduri kahwin. Lontong dan Rendang kau akan jumpa waktu hari perayaan. Mak aku paling legend masak Laksa Johor. Laksa Johor Mak aku takda siapa boleh lawan. Apa pun, makanan Melayu yang paling aku suka adalah Nasi Kerabu. Pergh, sumpah sedap! Keropok, ikan goreng, solok lada, ulam, telur masin lagi. Nak Nasi Kerabu sekarang, tolong carikan untuk aku~~~ Nasi Dagang pun sedap jugak, yang paling sedap masa mak mertua Kakak aku yang masak. Aku tambah banyak kali kot. Kah.

KUIH-MUIH
Kuih yang aku kenal sepanjang 19 tahun hidup aku. Kuih Ketayap, Kuih Lapis, Lepat Pisang, Buah Melaka, Onde-onde, Kuih Koci, Cucur Badak, Badak Berendam, Puteri Mandi, Donut, Karipap, Tepung Pelita, Kuih Cara, Abok-abok Sagu, Bahulu, Bingka dan banyak lagi. Betul, banyak lagi. Ni pun aku baru lepas tanya Mak aku kuih apa selalu ada dekat rumah. Hahhhahaha. Kalau waktu kenduri, kuih yang aku suka gila adalah Kuih Koci dan Abok-abok Sagu. Kalau waktu puasa, menu buka aku wajib ada Tepung Pelita dan Kuih Cara. Favourite kot dua tu. Menangis aku kalau takda salah satu.

MAKANAN CINA
Char Kuew Teow, Kuew Teow Kungfu, Wantan Goreng antara makanan Cina yang aku pernah makan. Kuew Teow Kungfu dan Char Kuew Teow merupakan makanan harian aku setiap petang masa duduk dekat matrik dulu. Hari tu teringin sangat nak makan Char Kuew Teow, pergi dekat kafe dia tak masak walaupun makanan tu ada dekat senarai menu. Akhirnya pergi order dekat luar. Hilang kempunan nak makan Char Kuew Teow.

MAKANAN INDIA
Makanan India pulak, Nasi Kandar dan segala adik beradik Roti Canai dan yang seangkatan dengannya aku pernah makan. Nasi Kandar pun tengok kedai jugak mana yang best nak makan. Masa dekat Perlis, kalau nak makan Nasi Kandar selalu makan dekat Restoran Yasmeen. Roti pulak aku suka Roti Telur dan Roti Tisu. Roti Tisu paling sedap. Dah la besar, aku makan seorang pun lepas. 

MAKANAN BARAT
Lasagna, Meatball, Spaghetti Carbonara, Spaghetti Bolognese, Macaroni Cheese, Chicken Chop, Beef Chop, Lamb Chop, Baked Macaroni. Tu semua makanan favourite aku. Paling favourite sepanjang hidup. Paling aku akan suka syok sendiri waktu dekat dapur adalah waktu masak semua makanan ni.

Walaubagaimanapun,
Selamat menghabiskan duit di makanan, Raihana :)

Selamat tinggal buat sementara post bergambar~

MANUSIA

Assalamualaikum.

JANJI
Manusia kalau berjanji biarlah berpegang pada janjinya. Lembu pun pegang pada talinya. Kau sebagai manusia yang diberikan akal fikiran sempurna ni tak boleh pegang pada janji yang tak seberapa tu ke? Kalau tak boleh, tak payahlah berjanji. Buat penat orang lain yang tunggu kau nak tunaikan janji kau tu. PENAT. Bukan apa, sabar manusia pun ada had. Apa kau fikir kau seorang ada hati dan perasaan? Kami yang lain ni takda hati? Takda perasaan? Oh yelah, kau seorang je manusia dekat dunia ni.

KERJASAMA
Kalau kerja sebagai satu kumpulan bagilah kerjasama. Bukan kau seorang yang sibuk. Bukan kau seorang yang ada assignment berlambak setinggi Gunung Kinabalu. Bukan kau seorang ahli dekat kumpulan tu. Kami yang lain pun ada kerja masing-masing, banyak assignment, nak periksa pertengahan semester lagi, sibuk dengan program kolej, sibuk dengan program fakulti mungkin. Kalau orang tanya tu jawablah, apa guna ada telefon dekat tangan 24jam kalau tak reti balas mesej orang. Barang perhiasan semata-mata? Mungkin setakat ni kau tengok kami buat tak kisah lagi, buat macam takda apa terjadi. Jangan tanya kenapa kalau kau diabaikan pada akhirnya dan jangan ditanya kenapa kalau kau berseorangan pada pengakhiran kisah.

BERSYUKUR
Kau kena bersyukur dilahirkan sebagai manusia yang sempurna. Sempurna keadaan fizikal maksud aku. Alhamdulillah aku bersyukur kerana aku dilahirkan sempurna keadaan fizikal. Ada mulut, hidung, cukup tangan, kaki, jari, mata, telinga. Kau bayangkan kalau kau dilahirkan tak cukup sifat. Tak dapat mendengar, melihat, bercakap, takda tangan, kaki. Kau bayangkan. Diberikan wajah yang cantik, kacak? Tu mungkin satu nikmat untuk kau. Gunakanlah nikmat tu dengan sebaik-baiknya. Aku bersyukur dengan apa yang Allah bagi dekat aku, keadaan fizikal yang sempurna untuk melalui hari-hari seterusnya sehingga pengakhiran hidup aku di dunia ini. Andai Allah tarik nikmat yang dia beri dekat aku satu hari nanti, mungkin itu satu ujian untuk aku supaya menjadi manusia yang tabah.

Ingatlah, apa yang Allah bagi dekat dunia ni semua hanya sementara. Bila-bila masa Allah boleh ambil balik. Aku bukan orang baik-baik yang nak bagi nasihat dekat kau, nak cerita perihal keagamaan dekat kau. Aku juga hanya manusia yang khilaf. Semoga kita sama-sama sedar dengan apa yang kita dah buat dan berubah ke arah kebaikan.

Ikhlas,
Raihana Bundawan.

TIADA KAITAN ANTARA YANG HIDUP MAHUPUN YANG SUDAH MENINGGAL DUNIA

Friday, 23 October 2015

SESAL

Assalamualaikum.

Sesal itu umpana kesal, menyesal akan sesuatu perbuatan atau perkara lampau yang pernah kau lalui. Bukan setakat kepada perkara lampau, mungkin benda yang baru berapa hari lepas kau tinggalkan. Perasaan sesal tu boleh muncul secara tiba-tiba atau memang dijangka lagi-lagi bila kau rasa bersalah, menyesal, kecewa dengan sesuatu benda yang kau buat.

Untuk kurangkan perasaan sesal tu, bergantung kepada keadaan yang kau lalui jugak. Kalau sesal sebab tak jawab test sungguh-sungguh memang tak boleh nak buat apa. Kau dan aku juga hanya boleh mampu berserah atas jawapan yang telah dihantar. Perubahan yang kau dan aku boleh buat lepas ni adalah belajar elok-elok sikit, kalau tak faham jangan dok buat pandai sendiri. Pergi tanya pensyarah, tak pun pergi tanya kawan yang terlebih pandai belajar sana.

Kalau sesal atas perbuatan yang telah kau buat macam buat jahanam dekat orang ke apa, banyak-banyaklah bertaubat. Mohon diberi hidayah oleh Allah swt untuk berubah jadi manusia yang selalu buat kebaikan dekat orang. Buat kebaikan dekat aku ke? Kan.

Aku pernah rasa sesal tak? Bagi manusia yang tak sempurna macam aku ni, perasan sesal tu tak pernah lari dalam kehidupan aku. Terutama bila waktu nak periksa dan selepas periksa. Sesal tak belajar sungguh-sungguh dalam kelas, jawab soalan pun macam nak taknak je idea keluar. Sesal dengan keputusan periksa yang aku dapat. Rasa macam nak mintak pergi sekolah rendah balik.

Sesal duit habis sebab beli makanan? Itu tak pernah.

Ikhlas,
Insan yang KHILAF.

ALUR ILMU

Assalamualaikum.

Alur Ilmu. Apa tu? Kebanyakan manusia dekat UKM ni tak tahu termasuk aku masa mula-mula masuk sini dulu. Alur Ilmu tu sungai yang ada sepanjang FST ke FEP ke Pusanika. Punca sungai tu adalah dari Tasik Ghazali. Masa pertama kali nampak sungai tu, jujur aku tak fikir tu sungai sampailah ada MEP habak kat kitorang semua.

Alur Ilmu - The Heart of UKM

Alur Ilmu - The Heart of UKM, satu program yang dianjurkan oleh kolej aku. Setakat ni dua program Alur Ilmu aku dah ikut walaupun aku bukan ahi Kelab Ekorelawan. Kah

Pertama kali terlibat dengan Alur Ilmu ni masa program 1M4U. Semua budak kolej aku terutamanya tahun satu kena ikut pergi program ni. Mula-mula ada ceramah penerangan tentang Alur Ilmu dan lepas tu kitorang semua kena bersihkan Sungai Alur Ilmu. Adalah yang pergi kutip sampah dekat tepi sungai, ada yang guna jaring nak ambil daun dalam sungai, ada jugak yang masuk dalam sungai tu, tapi dekat tepi-tepi jela. Pengalaman pertama dan best bagi aku.


Kali kedua pergi hari tu 17 Oktober. Kolej tak cakap wajib ke apa, tapi aku saja nak mengisi masa lapang daripada mereput dekat bilik dengan tak join SUKEMnya lagi. Kahhh. Kali ni ada budak kolej lain jugak join, tapi tak ramai la. Budak SRN dengan SRM pun muncul jugak. Aktiviti sama je dengan waktu 1M4U.



Lepas dah habis program, ahli SRM cakap diorang nak buat aktiviti berakit dekat Sungai Alur Ilmu bulan Disember nanti. Aku tungguuuuuuuuuu~

Harapan semoga Sungai Alur Ilmu akan bersih dan air sungai akan jernih suatu hari nanti.


Nukilan,
Pengikut setia perkembangan Sungai Alur Ilmu.

Sunday, 18 October 2015

BEBAN

Assalamualaikum.

Tema blog kali ni adalah BEBAN, dan ia merupakan satu beban bagi aku nak fikir tulis pasal apa. Susahnya tema kali ni Sir! (jerit satu bilik) 

Beban dalam hidup Mak dan Abah adalah membesarkan lapan orang anak. Dulu Mak dengan Abah bukan orang senang, belajar pun tak tinggi. Tapi betul apa orang kata kalau anak ramai,Insya Allah murah rezeki. Alhamdulillah, Mak dengan Abah dimurahkan rezeki oleh Allah, hidup pun dah senang. Disebabkan Mak dan Abah dah pernah lalui hidup yang susah, diorang selalu pesan dekat kitorang adik beradik belajar rajin-rajin, jangan malas, hidup kena selalu berusaha sebab Mak dengan abah taknak kitorang semua hidup macam diorang dulu.

Semua kakak dengan abang aku dah berjaya dalam hidup diorang, dah ada kerjaya tetap. Tinggal aku dengan adik aku yang kena berusaha lebih nak banggakan lagi Mak dengan Abah.

Terima kasih sebab tak pernah anggap kami lapan orang adik beradik satu beban yang berat dalam hidup.

Dan aku sebagai anak tugas aku adalah belajar bersungguh-sungguh dekat sini. Aku tak pernah anggap apa yang aku buat ni sebagai satu beban tapi aku anggap sebagai satu tugas dalam hidup. Sebab apa sangat nak dibandingkan kalau aku anggap belajar ni beban dengan beban Mak dan Abah besarkan aku jadi manusia yang mampu fikir perkara mana yang elok, mana yang tidak.

Terima kasih sekali lagi Mak, Abah.

Hanya Allah swt yang dapat balas jasa Mak dan Abah.

Dear Parents, one day I'll make you fell proud of me.
Ana.